mondiad2

Saturday 28 August 2021

Paralimpik Tokyo: Bonnie raih emas pertama, pecah rekod kejohanan

 Jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin melakukan angkatan menakjubkan apabila menghadiahkan emas pertama buat negara pada hari keempat Sukan Paralimpik di Tokyo, pada Sabtu.

Lebih mengagumkan, atlet kelahiran Serian, Sarawak itu turut memecahkan rekod Paralimpik dipegang Rasool Mohsin dari Iraq pada Rio 2016 iaitu 227 kg, dengan angkatan 228 kg dalam percubaan ketiganya pada hari pertama sukan berkenaan berlangsung.

Bagaimanapun, Bonnie tidak berjaya memecah rekod dunianya sendiri iaitu 230 kg yang dilakukan pada Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai ke-11 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) Jun lepas apabila gagal melakukan angkatan seberat 231 kg dalam percubaan keempatnya.


Pingat perak dimenangi atlet Mesir, Mahmoud Attia manakala gangsa milik atlet Great Britan, Micky Yule.

Badang kerdil itu bermula cemerlang dengan melakukan angkatan pertama seberat 217 kg dan terus mengekalkan prestasi luar biasanya dengan bebanan 225 kg dalam angkatan kedua sebelum melengkapkan angkatan terakhir dengan penuh bergaya bagi memecahkan rekod Paralimpik.

Mahmoud mengesahkan perak selepas melakukan angkatan terbaiknya dalam percubaan ketiga iaitu dengan bebanan 191 kg manakala Micky merangkul gangsa selepas mengangkat bebanan 182 kg, juga dalam percubaan ketiganya.


Kejayaan Bonnie ini merupakan pingat emas pertama bagi kem powerlifting negara dalam sejarah penyertaan Malaysia di temasya berprestij itu sejak edisi 1972 di Heidelberg, Jerman.

Pingat pertama negara dalam Sukan Paralimpik juga hadir menerusi sukan powerlifting oleh P Mariappan yang meraih gangsa pada 1988 di Seoul, Korea Selatan.


Pada temasya berikutnya di Barcelona 1992, kem powerlifting negara memperbaiki pungutan pingat dengan satu perak melalui Cheok Kon Fatt dan satu gangsa oleh Mariappan.

Edisi 2008 di Beijing, China, menyaksikan seorang lagi atlet powerlifting, Siow Lee Chan mencatat sejarah apabila muncul atlet wanita pertama memenangi pingat di temasya itu menerusi gangsa.

Selepas Bonnie, cabaran Malaysia di Jepun akan diteruskan oleh Jong Yee Khie, menerusi acara 107 kg, Isnin ini (30 Ogos).

-Bernama

No comments:

Post a Comment