mondiad2

Friday 27 August 2021

396 Guru Johor tolak vaksin sebab ragu-ragu – TMJ

 Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Ibrahim bertitah, hanya 396 guru di negeri itu enggan  mengambil vaksin atas sebab keraguan terhadap imunisasi berkenaan.

Menerusi kenyataan media di laman rasmi Facebooknya,  Tunku Ismail juga memaklumkan sebahagian baki 383 guru yang lain  mengambil pendirian untuk menangguhkan pengambilan vaksin buat masa ini.

Manakala sebilangan guru lagi bersetuju untuk mendaftar, titahnya selepas menerima mengadap sebahagian daripada wakil 779 guru di negeri itu yang enggan menerima vaksin di di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan hari ini.

“Ini kerana mereka mempunyai alahan, mengandung, atau pun keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan. Sebilangan guru kini telah bersetuju mendaftar untuk mengambil vaksin.

“Dalam perjumpaan ini juga, saya telah berkongsi info mengenai program vaksinasi di negeri Johor dan situasi terkini pandemik Covid-19 di negeri Johor,” titahnya.

Baginda berharap guru-guru terlibat supaya sedar tanggungjawab mereka untuk sentiasa mengetengahkan pembangunan modal insan dengan menjadi teladan yang baik.

“Saya berharap mereka akan mengambil vaksin sebelum sekolah dibuka semula demi memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Johor akan memanggil semua 779 guru berkenaan.

Mazlan berkata, Jabatan Pendidikan Johor akan membantu memberi penerangan tentang kebaikan vaksin supaya golongan guru terbabit menerima vaksin.- MalaysiaGazette


No comments:

Post a Comment