Friday, 24 September 2021

25 tahun Siti, RM4 juta jadi RM50 ribu

 SELAMA 25 tahun, figura bernama Datuk Seri Nurhaliza masih kekal terpahat sebagai penyanyi nombor satu kesayangan rakyat Malaysia.



Tempoh lebih dua dekad bertapak dalam industri dan kekal sebagai penyanyi tersohor negara bukan suatu yang mudah untuk dipertahankan.

Biarlah berpuluh-puluh penyanyi baharu ‘tumbuh’ bak cendawan selepas hujan, penyanyi asal Kuala Lipis, Pahang ini masih tetap menjadi idola dan kesayangan negara.

Selepas puas bergelar penyanyi terbaik yang pernah dilahirkan di Malaysia, Siti atau mesra disapa TokTi dalam kalangan peminatnya mengukuhkan lagi namanya dalam bidang perniagaan bawah jenama kosmetik, SimplySiti.

Selang 10 tahun kemudian, bekas pemenang Bintang Hiburan Minggu Ini (MHI) 1995 itu melebarkan lagi sayapnya dengan membina jenama untuk rangkaian produk kecantikan dan kesihatan dalaman, Beausiti yang turut merangkumi produk Beaukids dan Beaunest.

Perniagaan terkesan

Baru dua tahun bertapak, perniagaan yang diusahakan bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K tiba-tiba berdepan detik sukar saat pandemik Covid-19 menyerang seluruh dunia.



Sama seperti usahawan lain, Siti tidak menafikan semua produk yang dijualnya sama ada bawah label SimplySiti mahupun Beausiti turut terkesan dan mengalami penurunan jualan yang mendadak.

“Tidak dinafikan semua produk yang saya jual terkesan. Saya juga sama seperti kebanyakan ahli perniagaan lain.

“Namun, kami reda dengan keadaan ini. Apa yang berlaku merupakan satu cabaran untuk satu dunia. Syarikat yang besar dan kecil tetap terkesan,” ujarnya.

Siti atau nama lengkapnya Siti Nurhaliza Tarudin, 42, ketika ditemui semasa sidang media sambutan Ulang Tahun Kedua Beausiti secara maya baru-baru ini menambah, nilai jualan bagi beberapa produk syarikat seperti Simplysiti susut sebanyak lebih 90 peratus kepada hanya RM50,000 berbanding RM4 juta sebelum ini.

Namun, dia masih bersikap positif dan enggan berputus asa demi memikirkan ‘periuk nasi’ karyawan yang bernaung di bawahnya.

“Saya berterima kasih kepada suami sebab memikirkan langkah cepat untuk berdepan dengan pandemik ini. Kami terus menukar rancangan, berterus-terang dengan kakitangan supaya bersedia untuk berdepan dengan langkah yang sukar.

Kekal positif

“Kami tanya kepada mereka (kakitangan) sama ada mahu berjuang bersama-sama atau tidak. Sebab adakalanya pekerja tidak bersetuju apabila sesebuah syarikat itu membuat keputusan memotong gaji mereka,” ujar Siti.



“Dalam keadaan sekarang perlu hati ke hati (berbincang). Tanya mereka (pekerja) sama ada sanggup untuk susah bersama-sama atau tidak dan bukannya bersama di waktu senang sahaja,” ujarnya.

Ketika diajukan soalan tentang cara Siti mengekalkan sikap positif dalam diri mendepani cabaran yang berlaku, penyanyi itu sendiri mengakui perkara tersebut sebenarnya bukan suatu hal yang mudah.

“Saya memikirkan banyak tanggungan seperti pekerja-pekerja. Jadi saya memerlukan kesabaran dan ketahanan mental yang tinggi.

“Apa yang penting adalah komunikasi. Saya selalu berbincang dengan suami walau apa jua keadaan, kena acari jalan untuk hadapi cabaran. Bukan perlu ‘down’ dan berputus asa dengan apa yang berlaku,” katanya.

Ujar pelantun Jerat Percintaan itu lagi, bukan mudah sebenarnya untuk berdepan dengan cabaran Covid-19. Banyak kerugian yang perlu ditanggungnya.

“Tapi saya tidak boleh fikir saya akan kalah. Kalau saya teruk, ada perniagaan lain yang lebih teruk daripada saya.

“Sampai bila nak mengeluh sebab pandemik ini akan berterusan,” ujarnya.

Konsert Jubli Perak

Biarpun dilihat kurang aktif dalam bidang nyanyian pada tahun 2021 sementelah baru sahaja menimang cahaya mata kedua, Muhammad Afwa yang kini berusia hampir lima bulan, Siti sebenarnya tidak sabar untuk muncul dengan ‘buah tangan’ baharu tidak lama lagi.



Meraikan suku abad pembabitannya dalam dunia seni, Siti bakal bekerjasama dengan seorang maestro muzik dari Indonesia untuk pembikinan single baharunya.

Masih belum bersedia mendedahkan identiti pemuzik dimaksudkan, sehingga kini Siti sudah pun membuat perbincangan bagi merealisasikan projek yang dianggap cukup istimewa itu.

“Sempena sambutan ke-25 tahun dalam dunia seni, saya kini dalam proses bekerjasama dengan seorang pemuzik terkenal dari Indonesia.

“Siapa komposer itu, biarlah rahsia. Kalau nak tembak (teka) pun boleh. Kami sudah berhubung dan perbincangan dijalankan bersama Universal Music.

Ujarnya lagi, perancangan yang sudah diatur bakal menjadi kenyataan dan karya yang dihasilkan bersesuaian dengan cita rasa dan kematangannya.

“Saya harap dapat karya yang bagus dan susunan muzik menggambarkan pengalaman saya dalam industri muzik,” katanya.



Meskipun merahsiakan identiti komposer yang dimaksudkan, dikhabarkan bahawa individu tersebut adalah Erwin Gutawa.

Selain menghasilkan single, Siti juga sebenarnya menyimpan impian dan harapan untuk muncul dengan sebuah konsert khas sempena sambutan Jubli Perak kerjaya seninya itu.

“Saya memang ada perancangan mengadakan konsert khas. Namun, kami masih meneliti konsep yang sesuai kerana tidak mahu berkompromi dari segi kesihatan dan keselamatan.

“Pembikinan konsert ini masih diperhalusi dan hanya akan diumumkan jika ada lokasi serta konsep yang bersesuaian untuk mengimbangi antara memberi hiburan dan pada masa sama, menitik berat soal keselamatan,” ujar Siti.