mondiad2

Friday 17 September 2021

Bila warganet dari seberang pertahan Upin dan Ipin

 UMUM mengetahui bahawa ada banyak perkara yang kerap ditimbulkan dan menjadi pertikaian warganet dari seberang terutamanya jika ia bersangkut paut dengan nama Malaysia.


Daripada isu batik, rendang dan nasi goreng semuanya dipertikai sehingga mereka dilabel sebagai 'kaki claim' oleh warganet dari negara ini.

Namun, dalam kes yang satu ini, warganet di Indonesia seakan-akan bersatu hati mempertahankan produk dari Malaysia yang dilabel sebagai alat propaganda.

Kenyataan oleh Ketua Suruhanjaya Penyiaran Indonesia (KPI), Agung Suprio yang melabel animasi terkenal Upin dan Ipin sebagai alat propaganda kerajaan Malaysia mendapat kecaman meluas warganet di republik itu.

Agung membuat kenyataan itu semasa ditemubual dalam podcast Dedy Corbuzier di saluran YouTube baru-baru ini.

Menurut Agung, biarpun animasi Upin dan Ipin membawa mesej positif namun ia sebenarnya dibiayai oleh kerajaan Malaysia dan akhirnya boleh dianggap sebagai alat propaganda.

Bagi warganet di negara tersebut, kenyataan Agung sebenarnya bernada sinis kerana animasi Upin dan Ipin mendapat tempat di hati rakyat terutamanya kanak-kanak di Indonesia.

Malah, tidak kurang ada yang meminta Agung supaya memberi perhatian kepada rancangan televisyen republik itu yang mencolok mata selain siri sinetron yang sarat dengan unsur khurafat dan perebutan harta yang tiada berkesudahan.

Tidak kurang juga ada mempertikai tindakan KPI meluluskan sinetron cinta remaja yang jalan ceritanya mampu memburukkan lagi isu moral dan sosial dalam kalangan pelajar.

Apa pun, syarikat produksi Les Copaque sudah mengeluarkan kenyataan balas berhubung kenyataan Agung.

Menurut Les Copaque, animasi Upin dan Ipin bukanlah alat propaganda sebaliknya hanyalah sebuah rancangan yang hebat dengan niat mendidik dan memberi pelajaran hidup kepada kanak-kanak.


No comments:

Post a Comment