mondiad2

Friday 10 September 2021

Kedudukan kewangan AirAsia semakin meruncing

 Kedudukan kewangan AirAsia Group Bhd terus meruncing dan kelangsungan operasi syarikat penerbangan tambang rendah itu bergantung kepada langkah penjanaan semula modal yang akan dilaksanakan menerusi terbitan hak.



Penganalisis TA Securities, Tan Kam Meng, berkata cadangan terbitan hak dijangka dimuktamadkan pada akhir tahun ini, selain AirAsia juga menunggu kelulusan daripada Danajamin bagi permohonan pinjaman yang dikemukakan Jun lalu.

Selain itu, katanya kumpulan penerbangan itu menerusi BigPay, menerima pelaburan bernilai AS$100 juta (RM415.3 juta) daripada SK Group pada Ogos yang mana sejumlah AS$60 juta (RM249.2 juta) diterima pada suku ketiga 2021.

"AirAsia Group berjaya melaksanakan penyusunan semula liabiliti pajakan bernilai RM12.9 bilion dan impaknya akan dirasai pada suku ketiga dan seterusnya.

"Menurut pihak pengurusan, 65 peratus tanggungjawab pajakan telah disusun semula pada suku ketiga dan bakinya dijangka dilaksanakan pada suku terakhir 2021," katanya dalam nota penyelidikan.

Mengulas lanjut, Kam Meng berkata, berkata selepas penyusunan semula dilaksanakan, perbelanjaan pajakan kewangan dan caj pajakan tahun sebelumnya AirAsia Group akan menurun sebanyak dua angka.

Katanya, ia dijangka membantu kumpulan penerbangan tambang rendah itu mengurangkan kerugian dan defisit dana pemegang saham.

"AirAsia Group mencatat kerugian tunai purata RM71 juta pada suku kedua berpunca terutama daripada operasi syarikat penerbangan.

"Walaupun segmen digital tidak memerlukan banyak modal selepas pendapatan operasi hampir tidak dapat memenuhi perbelanjaan.

"Menurut kumpulan, keperluan dana masa depan untuk segmen digital akan ditingkatkan mengikut hala tuju perniagaan," katanya.

Sementara itu, Penganalisis Affin Hwang Investment Bank, Isaac Chow berkata, bank pelaburan itu menjangkakan AirAsia Group akan mencatat kerugian bersih teras berjumlah RM2.16 bilion tahun ini berikutan unjuran pergerakan penumpang yang rendah.

"Bagaimanapun, kami tetap positif dengan trajektori pendapatan bagi 2022 hingga 2023 berikutan kadar vaksinasi yang tinggi, pembukaan semula sempadan dan permintaan 'terpendam' yang mendorong pemulihan kukuh dalam pergerakan penumpang," katanya.

Penganalisis CGS-CIMB, Raymond Yap pula berkata, imbangan tunai AiAsia Group merosot kepada RM448 juta pada akhir suku pertama 2021 daripada RM533 juta akhir 2020.

"Aliran tunai operasi pada suku kedua 2021 adalah RM185 juta, lebih rendah sedikit berbanding RM265 juta pada suku sebelumnya disebabkan pengurangan dalam baki modal kerja bersih," katanya.

No comments:

Post a Comment