mondiad2

Friday 13 August 2021

Ibu Achey positif COVID-19 tahap 3; ahli keluarga lain sah terjangkit

 Pelawak Achey mendedahkan bahawa ibunya, Ngaisah Hassan, 73 tahun, masih menerima rawatan sebagai pesakit COVID-19 tahap tiga di Hospital Segamat, Johor.


Bagaimanapun, ibunya terpaksa diletakkan di dalam wad pesakit COVID-19 tahap empat memandangkan beliau perlu mendapatkan pemantauan rapi.

"Hospital hubungi saya dan memaklumkan dia ada radang sedikit di paru-paru dan ubat antiradang masih dimasukkan ke dalam badan sampai 14 hari. Jadi, dia ada baki dalam empat hari. Dia demam sedikit.

“Ibu saya sebenarnya tahap 3 tapi dia diletakkan di dalam wad tahap 4 sebab dia perlu pemerhatian yang lebih rapi.

“Dia ada demam dan masih dimasukkan antibiotik untuk menguatkan badan sehingga kini, masih memerlukan bantuan oksigen dan ditidurkan secara meniarap. Badan pula semakin susut. Kesihatan dia turun naik,” katanya kepada Gempak.

Jelas Achey, keluarganya dijangkiti virus berbahaya itu bermula daripada pelanggan yang membeli jualan mereka di tepi jalan.

“Keluarga saya cari makan dengan menjaja tepi jalan dan jual produk sendiri. Wabak ini berjangkit daripada pelanggan apabila bawa balik rumah seorang demi seorang kena bermula dengan abang saya, ibu saya dan kakak," jelasnya kepada Gempak.

Minggu lalu, BHonline melaporkan Achey berkongsi khabar duka apabila tiga ahli keluarganya iaitu ibu, abang dan kakak disahkan positif COVID-19.

BHonline menukil Achey sebagai berkata bahawa ibu dan kakaknya dirawat di Hospital Segamat manakala abangnya menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Menyusuli insiden itu, Achey memberitahu BHonline semua ahli keluarga yang mendiami rumah tersebut perlu menjalani kuarantin kendiri.

"Rumah itu turut didiami adik-beradik yang lain. Berikutan ada jangkitan berlaku, mereka terpaksa berkurung di rumah," ujarnya ketika itu.

Dalam kemas kini yang dikongsikan kepada Gempak semalam, Achey berkata: “Buat masa sekarang, kakak sudah balik, tinggal abang dan ibu saya masih dirawat di hospital.”

“Balik saja kakak saya, adik saya Natasha pula dibawa ke PKRC Johor Bahru. Hari ini dapat tahu adik ipar perempuan dan anaknya pula positif COVID-19. Kemungkinan dia tiga beranak akan dibawa untuk kuarantin.

"Terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan dan tak jemu-jemu memberi kata-kata semangat. Saya juga mendoakan perkara yang sama buat anda semua."

 

No comments:

Post a Comment